Rezeki yang disyukuri

7 Matlamat Yang Nak Dibuat Pada Bulan September Ini

 

Aku bukanlah jenis yang suka menulis rutin harian ataupun menulis to-do list setiap hari. Tapi sejak dah mula bekerja sendiri, hidup ni macam ada yang tak kena jek. Masa kerja dulu ada je kerja nak dibuat. Sekarang, ada kerja pun boleh pulak buat taktau jek. Apalah, kan. Jadi, aku seolah-olah memerlukan sesuatu yang memaksa diri aku ni untuk menulis gol(matlamat hidup). Baru-baru ni, aku suka tengok orang menulis rutin harian atau ‘to-do list’ dalam bullet journal. Lepastu, bila diaorang gariskan gol² yang dah dibuat, aku pulak yang tersenyum sendirian seolah-olah gol² tu semua aku yang buat. Lepastu terfikir, daripada aku menumpang kegembiraan orang lain, apa kata aku buat sesuatu yang menggembirakan diri aku je, kan. Jadi, kat bawah ni ada 7 gol yang aku nak buat dalam bulan ni(September) sebagai permulaan untuk menggembirakan diri sendiri:

Bangun di awal pagi

No…no…no… aku bukan jenis yang bangun lewat tapi kali ni nak cuba bangun awal sikit daripada biasa. Kalau bangun awal, banyak benda yang boleh diselesaikan sebelum masuk waktu tengahari. Aku fikir tu jek.

Antara cara untuk bangun awal pagi ni, aku buat macamni:

  • Pastikan makan malam sebelum maghrib.
  • Kalau boleh, paling lewat tidur pukul 10 malam.
  • Setkan pukul berapa nak bangun. Aku setkan pukul 5:30 pagi guna alarm hp.
  • Pasangkan lampu meja yang lampunya berwarna oren malap.
  • Buka kipas dan tutup ‘aircond’.
  • Ambil wuduk dan baca doa tidur.
  • Akhir sekali, TIDUR!

Menyediakan makanan yang menyihatkan

Hikmah berpenyakit dulu membuatkan aku memaksa diri memakan sayur mentah/salad. Disebabkan dah selalu sangat makan salad, lama-lama salad tu jadi makanan biasa yang perlu ada bila badan rasa tak berapa sihat. Bila sakit je, aku makan salad… bila sakit je, aku makan salad. Ni aku kongsikan macammana menyediakan makanan yang sihat yang boleh dimakan 3 kali sehari selama 5 hari berturut-turut:

  • Tengok youtube atau pinterest untuk mencari resepi yang menyihatkan.
  • Salin resepi tersebut.
  • Keluar ke tesco atau ke hero untuk mancari bahan membuat makanan yang menyihatkan tersebut.
  • Masak seperti yang diminta.
  • Siapkan beberapa Tupperware untuk menyimpan makanan yang akan dibuat nanti.
  • Lebihan makanan disimpan didalam peti ais(freezer) atau peti sejuk(ni khas untuk sayur-sayuran) supaya makanan tersebut boleh bertahan paling lama dalam 3-5 hari.

Makanan yang menyihatkan ni bukanlah salad semata-mata. Nasi, telur, ayam, ikan dan lain-lain tu perlu ada jugak. Tapi kita ikut je resepi yang youtube/pinterest kata menyihatkan tu. Kalau nak resepi dari pinterest, bolehlah tengok resepi menyihatkan yang dah dikumpul dalam pinterest aku ni. Jangan lupa ‘follow’ sekali.

Membaca buku 2 bab sehari

Bukunya dah ada tapi rasa malas tu selalu sangat melanda. Jadi, aku rasa kalau membaca 2 bab setiap hari pun dah dikira ok kot. Kalau lebih dari 2 bab lagi bagus tapi 2 bab lah yang paling minimum yang perlu dilakukan secara ‘istiqamah’. Tahun ni kebanyakan buku yang dibaca adalah hasil penulisan Hamka. Sehingga harini, baru 5 buah buku Hamka yang dah dibaca. Antara buku-bukunya:

  1. Tenggelamnya Kapal Van Der wijck
  2. Di bawah Lindungan Kaabah
  3. Ayahku
  4. Hamka(bukan ditulis oleh Hamka tapi tentang kisah hidupnya)
  5. Tasawwuf moden(sedang dibaca)

Kalau ada buku Hamka yang lain yang korang nak rekomenkan, tolong bagitau ye. Aku selalu main ambil je apa yang ada kat rak buku. Lepastu tengok ada diskaun ke tak. Kalau ada diskaun, barulah beli.

Buat budget simpanan setiap minggu

Sejak awal bulan 7 haritu aku dah budget menyimpan RM20 seminggu. Bagi orang yang jarang menabung, ni antara cara paling mudah nak menabung secara ‘istiqamah’. Tapi budget RM20 ni mungkin akan ditambahkan hari atau nilainya di masa akan datang. Antara sebab yang memaksa diri aku menyimpan:

  • Duit Tabung Haji dah tinggal sikit. Naya kang tak boleh pergi Haji.
  • Aku nak pergi Jepun lagi sekali!(mimpi je)
  • Ada blog lain kata ini antara ‘healthy habits’… sebabtu aku masukkan dalam list.

Bila ada gol macamni, ia seolah-olah memaksa diri kita untuk mencari wang lebih dan bekerja lebih kuat lagi.

Keluar berjalan di awal pagi

Rasanya kerap sangat dah nampak kat blog orang lain kata bila kita keluar berjalan-jalan dalam pukul 6:30 hingga 7:00 pagi, badan kita akan rasa segar dan bertenaga. Jadi, aku nak cubalah buat macamtu dengan:

  • Menghantar anak buah aku ke sekolah setiap pagi(sekolah dia dekat je tapi dah dimanjakan hantar guna kereta).
  • Mencuci mata dengan melihat pokok-pokok dan rerumput yang menghijau.
  • Hirup udara awal pagi sedalam-dalamnya tanpa memikirkan sebelah sekolahnya adalah highway.

Anak buah aku bersekolah di sekolah yang sama masa aku sekolah dulu. Dulu masa kecik2, aku selalu je berjalan kaki ke sekolah tapi zaman sekarang agak berbahaya kalau budak² buat macamtu. Kemungkinan lepasni aku bukan setakat berjalan ke sekolah je sebab teringin jugak nak pergi padang permainan sebelah sekolah tu. Komain lagi!

Buat ‘me day’ setiap hari Ahad

Dulu masa aktif berniaga online, aku selalu kata kat kawan-kawan yang hari Sabtu dan Ahadlah hari yang paling aku sibuk sekali. Tu belum lagi bekerja di hari orang bekerja yang sememangnya perlu aku bekerja. Pendek kata, aku jarang tetapkan cuti untuk diri sendiri.

Bila bos memerlukan aku bekerja pada hari Sabtu dan Ahad, barulah aku tahu betapa pentingnya kita bercuti di hujung minggu. Bila aku dapat cuti, rasa waktu tu berharga sangat. Mungkin sebab masa tu aku bekerja dengan orang lain, tekanan dia lain sikit. Tapi apa kurangnya dengan bekerja sendiri, kan. Jadi, hari Ahad adalah hari ‘me day’ sebab aku nak:

  • Mencuba produk-produk yang menarik di pasaran(kalau rajin, aku bercerita dalam ni).
  • Manicure dan pedicure.
  • Buat plan dan to-do list dalam ‘bullet journal’ untuk minggu depan.
  • Tengok asadora!
  • Memasak makanan yang belum pernah dibuat.
  • Baca blog orang lain.
  • Lap mesin jahit.
  • Praktis untuk membuat senaman push up(sampai sekarang masih tak dapat buat senaman ni dengan betul).
  • …. dan banyak lagi!

Tulis list ni je dah buat aku ‘excited’ sangat seolah-olah diri ini tidak sabar untuk menunggu tibanya hari Ahad. Harus dingat, hari Ahad tu ada 15 jam je ‘free time'(tolak waktu solat dan tidur).

Menjahit/Menyulam

Tujuan asal menulis blog ni sebenarnya nak update tentang ilmu jahitan dan DIY. Ingatkan senang nak kekalkan rutin menjahit ni tapi rupa-rupanya selalu tersasar buat benda lain. Taktaulah menjahit ni sebenarnya passion aku ke tak. Kita tengoklah hasilnya nanti selepas rutin ni selesai akhir September ni. Kalau rasa semakin lama semakin cintakan dunia jahitan ni, aku akan teruskan. Kalau tiba-tiba je berubah buat benda lain tu… faham² jelah ye.


Apakah matlamat anda pada bulan ini?




shares